Thursday, December 20, 2007

kerajaan melayu melaka vs kerajaan malaysia

Pernahkah anda membaca Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang? Sejarah Melayu memperlihatkan nilai budaya, politik dan ekonomi dalam rentetan peristiwa sejarah masyarakat melayu melaka. Nilai-nilai ini selalu diperkatakan mempengaruhi perkembangan politik semasa. Pada pendapat anda, sejauh manakah kenyataan ini benar? sekiranya benar, fikirkan contoh-contoh yang berkaitan dengannya.

Tidak, saya tidak pernah membaca Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang. Namun, saya ada membaca buku-buku sejarah perihal nusantara dan buku terbaru ialah karangan Dr. Hafidzi Mohd Noor bertajuk "Jejak Risalah Di Nusantara jilid 1: Zaman Pra Islam Hingga Era Pelayaran Muhammad Cheng Ho". Berdasarkan pembacaan dan pendapat saya, amalan politik semasa kerajaan Malaysia tidak banyak dipengaruhi nilai-nilai yang menjadi amalan Kerajaan Melayu Melaka. Lantas dengan itu,pandangan saya, jika nilai-nilai dahulu tidak mempengaruhi sistem kini, begitu jugalah nilai amalan masyarakat terdahulu yang tidak menjadi amalan masyarakat di kemudian hari.

Saya katakan demikian kerana jika dilihat pada sistem perundangan sekarang lebih menekankan perlaksanaan undang-undang sivil dimana perundangan ini mendapat tempat tertinggi dalam membuat penghukuman. Sedangkan di zaman kerajaan Melayu Melaka, asas perundangan yang diguna pakai adalah bertunjangkan hukum-hakam syariah. Di sini kita lihat adanya hukuman pagi perlakuan zina, mencuri dan membunuh berlandaskan apa yang diwahyukan Allah kepada manusia berlandaskan Al-Quran. Oleh kerana sistem penghukuman yang dilaksanakan berbeza, sudah semestinya ia menghasilkan suasana yang berbeza dalam masyarakat melayu melaka berbanding hari ini. Nilai menghukum berlandaskan material (dikenakan hukuman dengan membayar wang ringgit) tidak mampu membina kesedaran dalam masyarakat kerana ia mudah diperolehi malahan pengajaran yang mungkin diterima masyarakat, kesalahan itu boleh diperbetulkan dengan wang ringgit. yang lebih menakjubkan, hukum perundangan melayu melaka terlaksana dalam susur-galur masyarakat yang berbilang kaum hasil penghijrahan mereka ke Tanah Melayu dari negara asal, Kerajaan Melayu Melaka masih tetap mampu mengecapi era kegemilangannya dengan dinobatkan sebagai pelabuhan antarabangsa, pusat pengumpulan ilmu dan juga mengembangkan pengaruh kekuasaannya ke kawasan sekitar. Maka, apa yang dilaksanakan kerajaan sekarang tidak dipengaruhi nilai perundangan asal, kerajaan Melayu Melaka, kerana sistem yang diguna pakai lebih kepada sistem perundangan yang diamalkan kerajaan barat yang pernah menjajah Tanah Melayu, British.

Seterusnya, dari sudut politik perlantikan pimpinan kerajaan, terdapat perbezaan besar kerana dahulunya menggunakan kaedah monarki dan kini kita menggunakan sistem demokrasi. Sistem monarki sering dianggap sebagai satu sistem yang agak zalim terhadap rakyat dan lebih meletakkan status pimpinan itu lebih eksklusif, tetapi pada pendapat saya, ia mampu membawa satu corak pentadbiran yang mantap jika ia dilaksanakan dengan betul. Jika kita kaji semula sejarah pengislaman kesultanan nusantara, ianya dipelopori para pendakwah dan syeikh-syiekh yang terkemuka dalam dunia kebangkitan Islam di nusantara. Ramai para alim ulama ditempatkan didalam istana agar menjadi rujukan mudah oleh sultan, begitu jugalah kerajaan Melayu Melaka bermula dengan Islamnya Parameswara sebagai perintis kerajaan Melayu Melaka. Tidak mungkin seorang anak raja dibiarkan sedang ayahnya, sang sultan, mendapat didikan agama. Oleh yang demikian, pada pandangan saya, sistem monarki yang diamalkan dahulu mampu menjana kesinambungan kepimpinan islam dalam kerajaan Melayu Melaka yang lebih tersusun kerana itulah matlamat yang hendak dicapai melalui penyerahan kuasa pentadbiran lama kepada pentadbiran baru. Walaupun begitu, sistem demokrasi yang menjadi amalan pilihan kerajaan Malaysia menempatkan kekuasaan pimpinan kepada rakyat. Keadaan ini agak goyah kerana corak pemerintahan akan datang ditentukan melalui tahap kesedaran masyarakat semasa. Jika masyarakat ketika itu rendah moralnya, maka pemerintah yang bakal dinaikkan juga besar kemungkinan mengalami keruntuhan moral yang sama dan ini sangat membimbangkan. Oleh yang demikian, sistem politik kerajaan Melayu Melaka meletakkan objektif sebagai sandaran penerusan pemerintahan iaitu islam, sedangkan sistem politik kerajaan Malaysia kini meletakkan objektif penerusan pimpinan hanya sebagai satu program yang perlu diteruskan dan diamalkan.

Menerusi aspek tulisan dan bahasa, masyarakat kini sangat jauh ketinggalan dari aspek memartabatkan penulisan dan penggunaan bahasa kebangsaan. Lebih dahulu kita lihat aspek penggunaan tulisan. Pada zaman kerajaan Melayu Melaka, tulisan dinobatkan sebagai satu medium perantara yang formal hinggakan ketika kedatangan portugis ke Tanah Melayu, portugis berurusan dengan sultan melalui surat dengan menggunakan tulisan jawi. Ini menunjukkan nilai yang tinggi dalam memartabat tulisan bangsa. Sedang kini, tulisan jawi hanya dapat kita lihat dalam sisipan-sisipan surat khabar yang masih cuba untuk memartabatkan penggunaannya. Manakala dari perspektif penggunaan bahasa melayu, bahasa melayu berjaya dinobatkan sebagai lingua franca iaitu menjadi sebahagian daripada bahasa pertuturan dunia. Walaupun kejayaan ini banyak depengaruhi status Melaka sebagai pusat perdagangan dunia, ia tidak akan berjaya sebagai lingua franca jika bangsa yang menuturkannya tidak menobatkan sendiri penggunaan bahasa melayu dalam kehidupan seharian. Hal ini bercanggahan pula dengan situasi sekarang dimana bahasa melayu semakin dikikis penggunaannya malahan dianggap sebagai tidak mampu untuk menjana kejayaan negara. Oleh kerana masyarakat Malaysia sendiri tidak mempertahankan penggunaannya, maka tidak mustahil satu hari nanti, bahasa pengantara negara bakal bertukar kepada bahasa inggeris, yang juga bahasa mereka yang pernah menjajah kita. Tidak saya nafikan bahawa penggunaan bahasa inggeris penting namun, kejayaan hanya mampu kita kecapi jika apa yang kita punyai dinobatkan dengan menggunakannya. Tulisan dan bahasa merupakan identity sesebuah bangsa, jika ia ditarik penggunaannya, ia umpama buah-buahan tanpa kulit.

Secara keseluruhan, yang dilaksanakan kerajaan Melayu Melaka dahulu tidak banyak mempengaruhi corak pentadbiran sekarang. Dan corak pentadbiran banyak mempengaruhi suasana dalam masyarakat. Apa yang boleh saya ringkaskan, Zaman kerajaan Melayu Melaka adalah zaman kerajaan Melayu Melaka manakala zaman hari ini adalah ketentuan hari ini. Namun jika kita hendak mengecapi kejayaan sebagaimana kerajaan terduhulu mengecapinya, tidakkah perlu kita belajar dari sejarah?

p/s:this is my malaysian studies quiz1..dah submit minggu lepas~

7 comments:

Abdullah Mujahid Hasanuddin said...

cOoL

QAYYIM HAFIDZI said...

aper cool2? mat cool? hehe..jzkk atas lontaran komen yang ringkas dan padat

haziqisyrafathi said...

terima kashihhh

Azli said...

Wah!! Terima Kasih! Ini sangat membantu saya untuk rujukan.

Anonymous said...

Nub

Unknown said...

Bagus info Yang anda barikan kerana sesuai untuk sumber rujukan dan menjadi ilmu yg bermanfaat.

Anonymous said...

izinkan saya ambil perkongsian cik sebagai rujukan pembelajaran saya ye, terima kasih!